Try have a sweet smile :D

FlY oN thE mOON...huHUhu,..rEaLlY i'm IN loVe RiTe NoW wItH u.....<3<3<3

Friday, December 09, 2011

Kaum adam .

Secara rasionalnya kita meninjau punca-punca kepada pengabaian tanggungjawab atau lebih tepat lagi punca hak-hak wanita atau isteri ini tidak ditunaikan oleh pihak yang sepatutnya menunaikan, maka ada tiga sebab ia berlaku:

1. Kejahilan pihak lelaki terhadap kewajipan dan tanggungjawab yang mereka pikul dan sepatutnya ditunaikan terhadap orang yang di bawah tanggungan mereka. Lawan jahil ialah ilmu. Ilmu berkenaan tanggungjawab membela dan menjaga isteri serta anak-anak di kalangan golongan lelaki ini amat cetek, dan hampir-hampir tidak ada. Golongan lelaki ini hanya pandai mengambil faedah atau mengutip hasil daripada isteri dan anak-anak. Isteri digunakan sebagai alat pemuas nafsu. Kadang-kadang tidak kurang juga isteri digunakan sebagai ´buruh´ untuk mereka mendapatkan sumber pendapatan secara mudah. Golongan lelaki ini suka memerah tenaga yang ada pada isteri untuk kepentingan peribadi mereka. Bagaimanapun, ketika dalam keadaan harmoni dan sayang, seorang isteri sanggup mengorbankan tenaga dan hasil kerja mereka demi untuk suami yang disayangi. Penyeksaan ini hanya akan digembar-gemburkan apabila situasi sudah tidak harmoni lagi terutama apabila suami mempunyai hubungan dengan wanita lain sama ada sebagai teman wanita atau isteri. Pada ketika ini, secawan air kosong yang diberikan kepada suami pun akan diungkit dan diminta supaya diberikan ganti rugi. 

Bagi mengatasi punca ini, golongan lelaki yang bergelar suami dan bapa mesti diberikan pengetahuan tentang kewajipan dan tanggungjawab mereka dari segi agama sejelas-jelasnya. Kursus perkahwinan yang mesti dilalui oleh setiap pasangan apabila hendak berkahwin mesti dimuatkan dengan penjelasan kewajipan ini secara mendalam dan berjiwakan agama, bukannya berjiwakan sijil kursus. Risalah-risalah berkala dan siaran-siaran media dari semasa ke semasa perlu menghidupkan jiwa golongan suami dan bapa agar sentiasa segar dengan ingatan terhadap kewajipan agama yang perlu mereka tunaikan.

2. Keengganan dan kecuaian suami dan bapa secara sengaja daripada memberikan hak kepada isteri dan tanggungan, walhal mereka berada dalam zon selesa, berkemampuan dan mempunyai akses pendapatan yang mencukupi untuk melayani keperluan keluarga. Isteri dan anak-anak pula tidak pernah buat hal yang boleh menyebabkan suami atau bapa tertekan dan berdemontrasi menunjuk perasaan dengan memotong bekalan hidup daripada sampai kepada mereka. Suami atau bapa kategori ini bukan sahaja berkemampuan melayani keperluan tanggungan mereka yang asasi malah mereka turut berkemampuan melayani keperluan ´luxury´ tanggungan. Namun segala kemampuan yang ada pada suami atau bapa itu sama ada diperap atau digunakan pada tempat lain yang tidak sepatutnya. Situasi yang lebih kritikal lagi ialah mereka cuba melarikan atau menyelamatkan diri apabila pihak isteri dan anak anak menuntut hak mereka ditunaikan. Turun naik mahkamah lebih direlai oleh golongan lelaki ini daripada menyerah diri menunaikan tanggungjawab keluarga secara sukarela. Berbagai-bagai jenis lakonan dan pelbagai bentuk saluran mereka gunakan untuk meneguhkan keengganan dan kecuaian mereka menunaikan tanggungjawab agama terhadap keluarga. Lelaki jenis ini sanggup belanja makan kawan-kawan sepejabat tetapi rasa amat berat sekali untuk mengeluarkan wang membayar yuran pembelajaran anak-anak di sekolah.


3. Suami atau bapa memang realitinya tidak mampu memenuhi keperluan sepatutnya bagi isteri dan anak-anak. Lebih-lebih lagi pada zaman perbelanjaan dalam segenap segi semakin meningkat ini. Sebab kedua ini lebih baik kita tidak mengistilahkannya sebagai pengabaian atau kecuaian menunaikan hak kerana memang mereka tidak mempunyai kemampuan. Sepatutnya mereka diberikan bantuan. Jika diteliti, mereka sudah pasti masuk ke dalam kategori fakir miskin yang layak menerima zakat daripada agihan Baitul Mal. Secara umumnya pula, isu-isu seperti ini jarang dan hampir tak pernah dilaung-laungkan oleh pihak pembela kaum wanita kerana ia tidak bersifat ´konfrantasi´ terhadap pihak lelaki. Dalam keadaan ini, kewajipan suami dan ayah telah berpindah kepada pihak lain samada kerabat atau Baitul Mal dalam memenuhi keperluan asasi ahli keluarga yang terlibat. Dalam keadaan seperti ini juga, tanggungan yang telah mempunyai akal fikiran untuk berfikir perlu mengamalkan pepatah Melayu ´ukur baju pada badan sendiri´ dalam melayani kehendak dan kemahuan memenuhkan keperluan hidup.


4. Suami atau bapa tidak menunaikan tanggungjawab kepada isteri atau anak-anak disebabkan tekanan emosi hasil daripada perlakuan-perlakuan kurang ajar dan tidak beradab yang dilakukan oleh isteri atau anak-anak terhadapnya. Perlakuan kurang ajar ini tidak dapat diterima oleh suami yang tidak pandai berkonfrantasi cara lain kecuali dengan memutuskan bekalan atau tanggungan hidup daripada sampai kepada orang yang ditanggungnya yang berperlakuan memeningkan kepala dan mengganggu emosinya. Suami atau bapa seperti ini pada asalnya memang ikhlas menunaikan tanggungjawab agama dan keluarga terhadap isteri dan anak-anak. Tetapi perlakuan-perlakuan tidak senonoh yang mengganggu emosi dan perasaannya ini telah menekan jiwanya untuk berubah kepada tidak menunaikan tanggungjawab tersebut. Tambahan pula tekanan emosi daripada pihak isteri atau anak ini berpunca daripada perlakuan kurang ajar yang berulang kali dan berterusan walaupun setelah ditegur dan diperingatkan oleh suami. Akhirnya, suami atau bapa yang juga sebagai manusia biasa mengambil keputusan bukan pilihan jiwanya tidak menunaikan tanggungjawab keluarga ini walaupun bukan tindakan itu yang sepatut dilakukannya. 




                                           


* Beberapa pendapat lain tentang tanggungjawab seorang suami dalam rumahtangga . Selamat membaca dan menambah pengetahuan . :D


                                                 

Sebuah buku berjudul Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor karangan Datuk Syed Alawi Tahir al-Haddad, cetakan ketiga, tahun 1981, halaman 184-185. Buku ini menyatakan tidak wajib atas isteri menjalankan kerja-kerja seperti membersih rumah, mencuci pakaian, mengasuh anak-anak dan menyediakan makanan.
Jika isteri melakukan semua itu, ia berhak menuntut gantian dengan harga sebagai upah. Kewajipan isteri, menurutnya, hanya taat dan menyerah diri kepada suami bagi memuaskan kehendaknya serta tinggal dalam rumah dan tidak boleh keluar tanpa izin.

Soalan, benarkah pendapat ini? Setahu saya apa yang disebutkan itu bertentangan dengan amalan dalam masyarakat Melayu hari ini. Semoga artikel ini dapat menjelaskan kewajipan sebenar suami, isteri sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.  

JAWAPAN:
Melalui pembacaan buku berjudul Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor seperti yang disebutkan dalam soalan di atas. Buku ini merupakan himpunan fatwa Almarhum Datuk Syed Alawi al-Haddad (meninggal dunia 1962). Beliau adalah bekas Mufti Kerajaan Johor (1934-1961). Pada saya, fatwa mufti itu kurang jelas menyatakan tanggungjawab siapa menjalankan kerja-kerja rumah seperti mencuci pakaian, memasak, menyediakan makanan, mengasuh anak, menyidai kain dan sebagainya.
Tambahan lagi beberapa buah buku yang ada  untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut tentang perkara itu. Kebanyakan menyatakan kerja-kerja rumah seperti yang disebutkan di atas adalah tanggungjawab suami.
Kewajipan isteri pula dinyatakan ialah melayani kehendak suami dan menyerahkan tubuh badan kepadanya serta menyahut panggilannya dengan segera bila diperlukan, sekalipun ketika dia sedang memasak di dapur.
Buku-buku itu antara lain menjelaskan lagi, isteri tidak harus berpuasa sunat, kecuali terlebih dahulu memaklum dan mendapat keizinan suami, kerana khuatir nanti suatu panggilan kecemasan akan berlaku, sedangkan dia tidak dapat menyahutnya kerana berpuasa. Dinyatakan lagi, jika isteri tidur bermalaman, sedangkan dia dengan sengaja tidak melayani kehendak suaminya, maka sepanjang malam itu dia dilaknat Allah dan malaikat.
Kesetiaan isteri terhadap kehendak suami semacam boleh ditafsirkan dengan ada bayarannya, iaitu kerja-kerja rumah seperti mengasuh anak, memasak, membasuh pakaian, menyidai kain dan sebagainya hendaklah dijalankan oleh suami. Kecuali jika isteri dengan rela hati sedia melakukannya.
Saya tidak mempertikaikan hukum-hukum yang telah diputuskan oleh al-Quran dan hadis-hadis sahih berhubung kewajipan suami terhadap isteri, seperti nafkah makan minum, kediaman, pakaian dan perubatan yang wajib ke atas suami menyempurnakannya. Manakala kewajipan isteri terhadap suaminya pula hendaklah melayani sepenuhnya kehendak suami sebaik sahaja panggilan dibuat.
Persoalan yang berbangkit ialah mengenai kerja-kerja harian di dalam rumah seperti memasak, mengasuh anak, menyidai pakaian dan sebagainya, benarkah ia termasuk antara tugas suami? Isteri hanya boleh melakukannya secara sukarela atau suami sendiri menyempurnakannya sebagai tanggungjawab terhadap isteri. Begitulah apa yang saya faham daripada buku-buku yang saya baca.
Saya berpendapat hukum ini adalah hasil ijtihad ulama pada beberapa abad terdahulu. Ijtihad boleh berubah dari masa ke masa mengikut perubahan zaman, keadaan dan tempat. Ijtihad ulama juga tidak selalunya tepat dan betul, kadang-kadang boleh disanggah oleh ulama melalui ijtihadnya yang dihasilkan pada waktu dan masa yang lain pula. Dalam hadis menyebut: Sesiapa yang silap dalam ijtihadnya maka ia memperoleh satu pahala dan siapa yang betul, akan mendapat dua pahala.
Menurut mazhab Imam Malik, uruf dan kebiasaan dalam sesebuah masyarakat boleh dipakai bagi menurunkan sesuatu hukum. Atas dasar ini, isteri boleh memasak, menyidai pakaian, mengasuh anak dan sebagainya jika dia suka, tetapi bukan sebagai kewajipannya. Beberapa alasan berikut boleh dijadikan hujah:
Pertama: Allah berfirman kepada para isteri yang membawa maksud: Isteri menanggung kewajipan terhadap suaminya yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik, suami juga dikehendaki melakukan kewajipan yang serupa (al-Baqarah: 228). Ini bermakna suami isteri sama-sama mempunyai tanggungjawab terhadap satu sama lain.
Saya beranggapan tidak adil jika urusan yang dilakukan di luar rumah seperti mencari nafkah makan minum, kediaman, pakaian, perubatan menjadi kewajipan suami sepenuhnya, kemudian kerja-kerja di dalam rumah juga menjadi kewajipan suami. Isteri seolah-olah tiada sebarang kerja, selain melayan suami dengan tubuh badannya sahaja. Cara yang lebih adil ialah kerja-kerja di luar rumah menjadi kewajipan suami, sementara dalam rumah pula hendaklah diambil tanggungjawab oleh isteri.
Kedua: Dalam pergaulan sesama manusia dan juga keluarga, setiap hak yang wajib ditunai hendaklah ada balasan yang diterima. Suami dipertanggungjawab memberi nafkah dengan jalan yang terbaik, seperti yang dinyatakan terdahulu. Apakah hak ini telah dibalas oleh isteri dengan cara yang terbaik juga seperti yang sepatutnya? Apakah kewajipan menyara hidup yang disempurnakan oleh suami terhadap isteri dan anak-anaknya itu dianggap sebagai percuma dan tidak perlu dibalas apa-apa? Islam dan juga budaya Melayu tidak menyatakan begitu.
Mungkin ada orang menjawab, tubuh badan isteri yang diserah kepada suami itu sendiri bayarannya. Suami berhak mendapat kepuasan sesuka hati dan pada bila-bila waktu sahaja. Alasan ini boleh ditolak dengan mudah, kerana kepuasan itu bukan hak suami semata-mata, tetapi hak bersama.
Jika tubuh badan isteri dianggap hak suami, maka tubuh badan suami juga boleh dianggap hak isteri. Sesetengah orang menyebutnya sebagai nafkah batin yang wajib disempurna oleh suami, sekalipun saya tidak setuju dengan istilah nafkah batin itu.
Ketiga: Suami dikira sebagai qawwam (pemimpin) dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap isteri, dengan itu isteri hendaklah menjaga kepentingan suaminya. Jika suami bertanggungjawab dengan memasak dan membasuh pakaian isteri, bermakna isteri sebagai pengawal suami. Ini bertentangan dengan maksud ayat 34 surah al-Nisa. Oleh itu jalan yang paling serasi dan bermuafakat dengan adat dan budaya Melayu ialah isteri bertanggungjawab dengan kerja-kerja rumah, manakala suami hanya membantu.
Mungkin ada suami yang bersedia melakukan kerja-kerja itu. Ada suami yang sangat berminat dengan kerja-kerja memasak, mengasuh anak dan menjahit pakaian sendiri, sementara isteri pula berminat dengan kerja-kerja di luar rumah seperti berniaga dan sebagainya. Amalan ini tidak salah dari segi hukum jika suami isteri rela dengan cara itu.
Keempat: Banyak riwayat menyatakan kehidupan harian para sahabat sebagai suami atau isteri, masing-masing memberi khidmat dan bantu-membantu antara satu sama lain. Sebagai contoh, Asma' binti Abu Bakar, isteri al-Zubayr Ibn al-Awwam, selalu membantu suaminya dengan memberi makan kuda, mengangkut air dari tempat yang berbatu-batu jauhnya. Tidak pula kedengaran Baginda Rasulullah melarang Asma' berbuat demikian dengan alasan semuanya itu adalah kewajipan suami.
Fatimah al-Zahra, isteri Ali Abu Talib dan puteri Nabi, juga melakukan sendiri kerja-kerja memasak dan membakar roti, menyediakan makanan dan mengisar tepung, sehingga menjadi pecah-pecah pada tangannya. Fatimah dan suaminya pernah mengadu kepada Nabi agar mengizinkannya mendapatkan pembantu rumah atau khadimah.
Tetapi Nabi menyuruh agar Fatimah terus melakukan sendiri kerja-kerja itu. Baginda tidak pula mengatakan, serah saja kepada Ali, kerana itu tanggungjawabnya sebagai suami.
Mungkin ada orang menjawab, sumbangan Fatimah yang membuat kerja-kerja rumah itu hanya sukarela, bukan sebagai kewajipan atau tugas. Saya katakan, kerja-kerja itu adalah kewajipan Fatimah bukannya sukarela, kerana Nabi tidak menerima cadangannya untuk mendapatkan pembantu rumah bagi menjalankan tugas-tugas itu.
Jawapan Rasulullah s.a.w. kepada puterinya Fatimah adalah suatu perakuan yang dengan sendirinya menurunkan hukum yang bakal dipakai umatnya, iaitu dalam menentukan tanggungjawab siapa sepatutnya melakukan kerja-kerja rumah, suami atau isteri. Dalam ilmu Mustalah Hadis, perakuan ini disebut taqrir (perakuan Nabi).
Saya berasa penting juga dinyatakan di sini bahawa tugas isteri pada hakikatnya ditentukan oleh adat resam dan budaya hidup sesuatu bangsa itu sendiri. Masyarakat Melayu telah mewarisi satu budaya yang agak kukuh, iaitu kerja-kerja berat yang biasanya menjadi kewajipan suami, manakala kerja-kerja ringan biasanya menjadi tanggungjawab isteri.
Ditakdirkan ada isteri merasakan adat dan budaya Melayu ini tidak perlu lagi dipertahankan, sudah tiba masanya lelaki dan wanita disamakan. Suami harus menyediakan sendiri makan minumnya, membasuh dan mencuci sendiri pakaiannya. Bagaimana pula jika dia kesuntukan masa untuk melakukan kerja-kerja itu, lalu menyerahkannya kepada pembantu rumah atau orang gaji? Tidakkah hati tersentuh melihat orang lain berada di samping suami kerana menyediakan makan minum dan mencuci pakaian dan menyentuh barang-barang yang akrab dengannya?
Adat resam dan budaya Melayu tidak pernah menerima cara itu. Janggal sekali jika orang yang tidak ada kena-mengena itu bebas melakukan apa sahaja yang disukainya.


                                                    




* Artikel tambahan yang menarik :)



1. Selalu menghargai usaha dan penat-lelah isteri, terutama isteri yang bekerja dan sama-sama terpaksa menanggung hutang suami.
2. Bila isteri bercakap, pandanglah mukanya dan buka telinga luas-luas. Biar apa yang dikatakannya masuk telinga kanan dan tersumbat di telinga kiri. Sambil tu otak suami kenalah memproses informasi yang diterima daripada isteri dengan bijak serta prihatin.
3. Jangan sekali-kali membandingkan masakan isteri atau cara isteri menghias rumah dengan mak anda kecuali masakan/cara menghias isteri anda lebih baik dan canggih dari emak anda..
4. Jangan demand sex sekiranya isteri tak ada mood atau letih. Agama suruh kahwin bukan semata-mata untuk penuhi nafsu syahwat saja.
5. Kalau pasangan dah ada anak, sama-samalah menjaga anak. Benih dari awak juga.. Ada suami, isteri sedang makan disuruh cebok kencing n berak anak sedangkan suami duduk tersandar kekenyangan macam maharaja.
6. Jangan sekali-kali duduk tersandar depan TV atau relax-relax sedangkan isteri bila balik dari kerja, buka saja kasut terus masuk dapur, memasak, mengemas, membasuh, kejar anak dsbnya. Berbulu mata dan sayu hati isteri bila kami tak cukup tangan nak menguruskan rumahtangga sedangkan suami lepas tangan.
7. Sekiranya suami makan dahulu, tinggalkan sedikit lauk utk isteri. Jangan bedal semua sampai turn isteri yang tinggal cuma ekor ikan sekerat, janggut sotong dan ekor taugeh.
8. Kalau nak ajak member bertandang ke rumah, beritau isteri dulu, kalau boleh sehari-dua in advance. Jadi bolehlah dia memasak yang best-best dan mengemas rumah cantik-cantik. Bayangkan perasaan isteri kalau tetamu datang terpacak sedangkan kain-baju masih berlonggok belum sempat dilipat, permainan anak masih berselerak dan isteri cuma masak mi maggi saja.
9. Jangan sekali-kali menyakat isteri tentang saiz badannya yang semakin sihat atau semakin melidi. Tengok body sendiri dalam cermin dulu.
10. Jangan kentut depan isteri. Masa bercinta dulu kenapa boleh control kentut?
11. Hormatilah ibu-bapa dan kaum keluarga isteri walaupun anda cuma main wayang, bodek mereka masa nak mengurat isteri anda dulu. Jangan sekali mencaci mereka walaupun secara bergurau.
12. Jangan kedekut dengan isteri serta keperluan rumahtangga.
13. Jagalah maruah anda sebagai suami dan lelaki. Selagi boleh, jangan bebankan isteri dengan masaalah kewangan anda. Selalunya perempuan ni, semakin suami “degil” tak nak minta pertolongan, selagi itulah dia rela nak tolong.
14. Jangan bersepah dan bersikap pengotor. Dah buka baju, letakkan dalam bakul baju kotor, dah guna cungkil gigi, buanglah dalam bakul sampah, bila dah guna ubat gigi bubuh balik penutupnya, dah ambil sesuatu barang simpan balik ditempat asal, dah berak flush. Susah sangat ke nak buat macam tu? Semua nak kena ajar ke?
15. Rajin-rajinlah bertanya isteri kalau dia perlukan bantuan anda dengan kerja rumah/menjaga anak. Tapi jangan tanya dua tahun sekali. Jangan tunjuk rajin bila ada tetamu di rumah saja.
16. Hormatilah isteri anda sebagaimana anda mahu dihormati. Isteri pun manusia. Allah berikan banyak keistimewaan kepada para isteri tapi diputar-belitkan tafsirannya oleh orang lelaki untuk kepentingan diri sendiri.
17.. Jangan main kayu tiga dengan perempuan lain. Main lain lagi tak boleh. Kalau isteri awak yang buat, tentu awak tak boleh tolerate, jadi mengapa isteri awak kena tolerate kalau awak buat?
18. Kalau tak menyukai sikap atau perbuatan isteri, tegurlah secara baik, jangan asyik nak menengking aja. Kalau awak sakit nak mati nanti, siapa yang kena jaga awak? Bai jual roti? Apek jual sayur? Jiran sebelah rumah awak?
19. Kalau isteri nampak tak sihat, cepat-cepatlah bawa jumpa doktor. Tunjuklah anda mengambil berat tentang dirinya.
20. Berbincanglah dengan isteri sebelum sesuatu keputusan dibuat. Walaupun suami megah ada kuasa veto, tak jadi bapok kalau pendapat isteri diambil kira. Pokok pangkalnya ialah timbangrasa dan saling menghargai. Cubalah ketepikan ego yang keterlaluan. Bukannya laku bila dah mati nanti.
21. Dalami agama dan bimbinglah anak isteri dengan ikhlas seperti yang dituntut agama. Ingat, kalau seorang suami masuk syurga, besar kemungkinan isteri pun masuk syurga. Kalau suami masuk neraka belum tentu isteri juga masuk neraka. Kalau isteri masuk neraka, besar kemungkinan suami juga masuk NERAKA tapi kalau isteri masuk syurga belum tentu suami pun masuk syurga.Ini bukan rekaan saya tapi saya dengar dari seorang ustaz.
22. Berusahalah dengan ikhlas untuk mempertahankan keharmonian rumahtangga. Jangan buat apa yang isteri tak suka. Percayalah, kalau suami buat baik sekali dengan isteri, isteri balas sepuluh kali
23. Jangan buat donno kalau isteri merajuk atau berkecil hati. Kalau perlu minta maaf, minta maaf, kalau perlu dipujuk, pujuk. Hati orang pompuan ni sensitif. Kalau kami rasa suami tak ambil kisah, perasaan bagai dihiris-hiris. Perkara yang dipandang remeh oleh suami boleh menjadi kanser kepada isteri. Kepada para suami khususnya dan kaum lelaki amnya, janganlah dianggap masalah hati dan perasaan orang perempuan ni enteng sahaja.

* Wahai kaum Adam, sekiranya kamu memang sudah bersedia untuk melayari bahtera perkahwinan , maka perlu juga bersiap sedia untuk mengalami proses alam perkahwinan . 
* Alam perkahwinan bukan sesuatu yang dianggap mudah terutamanya bagi kaum Adam yang lebih suka melepaskan tanggungjawab kepada si isteri . Bertolak ansur adalh lebih baik berbanding mementingkan diri sendiri.
* Kepada si suami atau bapa kepada anak-anak , ketahui la bahawa sememangnya menjadi tanggungjawab diri sendiri untuk menyara kehidupan isteri dan anak - anak . Jangan sesekali mengungkit hal itu terhadap anak-anak dan isteri kerana ia mungkin menunjukkan ketidakikhlasan sang bapa dan si suami terhadap si isteri dan anak-anak .

                                                                                      


* Wahai Bapa atau suami , sekiranya berada dalam keadaan marah dan tidak dapat menenangkan diri , maka ambil la wudu' bagi menenangkan diri dan itu adalah lebih baik daripada mengungkit hal-hal yang lama . :D
* Fikir-fikir kan lah da selamat beramal dengan pengetahuan yang ada dan manfaat kan lah pengetahuan tersebut sebagai panduan hidup . :)

                                                               


Ini kisah saya bukn kamu ! Terima kasih

No comments:

Elegant Rose - Up Arrow